Friday 13 March 2009

siapakah SEPUTUM

PERBICARAAN PEMBUNUHAN BIRCH

Pada 3 mac dalam tahun 1876, satu perbicaraan telah diadakan di Bandar Baru, Perak ke atas Seputum, Che Gondah dan Ngah Ahmad yang dituduh membunuh Residen British di Perak J.W.W. Birch, di Pasir Salak, kampong Dato’ Maharaja Lela pada 2 November 1875
Ketiga-tiga orang yang dituduh itu telah dibicarakan di hadapan Raja Deris yang dilantik oleh Sultan Abdullah untuk menghakimkan perbicaraan itu. Frank Swettenham, Residen British di Selangor hadir sebagai Juri.
Ketiga-tiga yang dituduh tidak mengaku salah, akan tetapi terdapat 4 orang saksi yang mengaku telah melihat bahawa ketiga-tiga mereka telah melakukan pembunuhan tersebut. Saksi-saksi tersebut ialah Hamid, yang bekerja sebagai pencuci sampan Birch, Kok Ah Yong, seorang peniaga emas, Mat Tahir seorang pendayung sampan dan Ho Ah Choy bekerja sebagai tukang masak Kok Ah Yong.
Keempat-empat saksi tersebut bersumpah bahawa mereka melihat Seputum memukul J.W.W.Birch, sambil Che Gondah dan rakan-rakannya menyerang Residen Birch.
Akhirnya setelah mendengar keterangan-keterangan saksi-saksi tersebut, Raja Deris telah mengumumkan ketiga-tiga yang dituduh bersalah dan telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Seputum dan hukuman penjara seumur hidup ke atas Che Gondah dan Ngah Ahmad. Seputum telah dihukum gantung pada 20 Mei 1876 di Bandar Baru.
Dalam perbincaraan yang lain yang diadakan pada bulan Disember 1876, pemimpin-pemimpin yang mengetuai penentangan orang-orang Melayu terhadap British hingga membawa kepada pembunuhan Birch telah dibicarakan di hadapan Raja Muda Yusof dan Raja Alang Hussein (dilantik oleh British) dan dijatuhkan hukuman gantung hingga mati. Mereka ialah Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Sagor dan Pandak Indut. Hukuman ke atas mereka dilaksanakan di Larut dalam bulan Januari 1877. Ngah Jabbar dan dua orang lagi yang terlibat dalam pembunuhan itu, iaitu Panjang Bur dan Che Ali dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
Siasatan yang panjang lebar juga telah dilakukan ke atas Sultan Abdullah dan beberapa orang besar Perak. Akhirnya pada bulan Disember 1876 Majlis Kerja (Executive Council) Negeri-Negeri Selat mengumumkan bahawa Sultan Abdullah, Laksamana, Shahbandar dan Menteri Larut (Ngah Ibrahim) didapati bersalah kerana bersubahat dalam pembunuhan Birch. Mereka dibuang negeri ke Seychelles dalam tahun 1877, tetapi Sultan Abdullah dan Ngah Ibrahim kemudiannya dibenarkan pulang ke Singapura.

1 comment: